Ada kalanya pemandu kereta berasa tidak selesa
apabila stereng yang dipegang bergetar dan tidak stabil kerana berat ke sebelah
kiri atau kanan. Lebih merisaukan apabila seluruh badan kereta ikut bergetar.
Apabila berhadapan dengan keadaan ini, antara
sebab utama kerosakan yang berlaku diberi perhatian termasuk tekanan tayar
depan terlalu rendah atau ukurannya tidak sama, kehausan tayar depan tidak
sama, kehausan atau kelonggaran sambungan sistem kemudi atau kotak gear stereng
bergoyang, penyelarasan jajaran roda depan kurang tepat dan roda depan tidak
seimbang.
Seandainya menghadapi masalah seperti itu pemandu
dan penumpang pasti tidak selesa, lebih-lebih lagi jika sedang dalam perjalanan
jauh. Untuk itu, punca kerosakan dan getaran perlu diketahui. Apabila memandu
kenderaan penumpang atau trak, terutama trak kecil diatas jalan kasar atau
rosak, biasanya akan terasa ada goncangan sehingga stereng perlu dipegang
dengan kuat. Namun demikian, anda juga dapat merasakan adanya getaran atau
goncangan pada stereng dan badan kenderaan walaupun keadaan jalanraya datar dan
baik, pada suatu kelajuan antara 70 kilometer sejam (kmj) dan 80km.
Keadaan sebegini dinamakan 'shimmy'. Jadi, jika
berhadapan dengan keadaan begini mula-mula periksalah tekanan tayar depan,
keadaan sistem kemudi atau skru roda depan. Kemudian periksa kehausan tayar
depan, sebaik-baiknya masih mempunyai rusuk bunga dengan tebal sekurang-kurangnya
2mm. 'Shimmy' boleh terjadi apabila roda tidak dikunci dengan baik pada
tempatnya, atau rod gandar tidak segaris dengan lubang pada roda. Jadi, banyak
faktor yang boleh menyebabkan 'shimmy'; beberapa kesalahan dapat diperbaiki
dengan mudah tetapi ada pula yang memerlukan kepakaran tertentu untuk
mengatasinya.
Gunakan tayar baru untuk perjalanan keluar
bandar. Ada kemungkinan getaran yang berlaku boleh dihilangkan apabila tayar
yang sudah haus diganti dengan tayar baru atau setelah tayar kiri-kanan ditukar
kedudukannya. Namun demikian, jika getaran masih terasa juga, sebaiknya
pemeriksaan dilakukan dengan lebih teliti kerana dibimbangi kerana disebabkan
kehausan atau kelonggaran pada sistem rod kemudi dan sistem gantungan depan;
atau kerana penyelarasan penjajaran roda depan yang kurang tepat hingga
menyebabkan roda tidak seimbang. Untuk memeriksa dan membuat pembaikan bagi
masalah berkenaan diperlukan alat dan kemahiran. Roda tayar dilengkapi satu
alat pengimbang. Alat itu menunjukkan letak dan besarnya pengimbang yang harus
dipasang pada rim roda.
0 comments:
Post a Comment