Ada ketikanya pemandu tidak berasa
selesa apabila stereng menjadi semakin ketat dan berat. Anda perlu menggunakan
lebih tenaga untuk memutar stereng dan keadaan ini menyusahkan terutamanya
ketika meletak kenderaan dan apabila perlu banyak membelok.
Antara sebab keadaan ini berlaku
termasuk tekanan tayar depan yang terlalu rendah, penjajaran (alignment) tayar
depan yang kurang tepat, kekurangan atau kerosakan minyak pelincir di dalam
kotak gear stereng, kekurangan gris pada sambungan rod stereng atau pengalas
tayar depan dan penyelarasan yang kurang sempurna pada peralatan pengemudian.
Apabila berhadapan dengan keadaan
sebegini, mula-mula periksalah tekanan tayar hadapan dan pelinciran sambungan
rod stereng. Agar pemeriksaan dapat dilakukan dengan mudah, tongkatlah
kenderaan hingga kedua-dua roda depan tergantung. Kemudian periksalah adakah
sambungan dan skru sistem pengemudian cukup ketat.
Antara bahagian yang harus diutamakan
pemeriksaannya termasuk kotak gear stereng, sambungan bebola atau gantungan depan
termasuk hujung dan pangkal rod pengikat. Untuk mengetahui kerosakannya,
putarlah stereng ke kiri dan ke kanan. Selepas itu putarlah stereng ke kanan
penuh, kemudian gerakkan stereng sedikit ke kiri dan ke kanan.
Sistem pengemudian mempunyai peranan yang
sangat penting, maka waspadalah terhadap pelbagai kelainan yang wujud. Dalam
keadaan lain pula, ketika memandu kenderaan di atas jalan yang datar, stereng
terasa cenderung untuk berputar ke sesuatu arah. Jadi, stereng terpaksa
dipegang dengan kuat untuk mengelakkannya terus berputar ke satu arah.
Keadaan ini biasanya terjadi disebabkan
tekanan tayar kiri dan kanan yang tidak sama, diameter rim kiri dan kanan yang
tidak sama, penyelarasan penjajaran roda depan kurang tepat, pegas (spring)
gantungan depan yang sudah lemah, patah atau kurang baik pemasangannya,
penggalas roda depan sudah rosak atau kurang baik penyelarasannya dan brek dari
salah satu roda depan atau belakang bergesel.
Apabila berhadapan dengan keadaan ini,
pertama pastikan bahawa beban kenderaan cukup seimbang. Kemudian periksalah
sama ada kedua-dua tayar depan dan belakang sama tekanannya. Jika tidak,
samakan. Pandu kenderaan perlahan-lahan di atas jalan datar. Luruskan arah
kenderaan, rasa dan perhatikan bagaimana kenderaan berjalan. Apabila kenderaan
masih cenderung untuk membelok ke satu arah, hentikan kenderaan dan lakukan
pemeriksaan seterusnya.
Diameter luar rim kiri dan kanan (untuk
roda depan dan belakang) harus sama. Kemudian periksa adakah salah satu pegas
depan sudah lemah atau patah. Selain itu, ada kemungkinan juga penyelarasan
brek kurang baik atau hanya sebelah yang berfungsi.
Kerosakan pada sistem kemudi boleh
menjejaskan sistem keselamatan. Oleh itu, penjagaan aspek penjajaran roda depan
tidak boleh dipandang ringan.